Monday, June 4, 2012

Duit Sukarno 1964 (10,000 rupiah)

Cukup banyak diperkatakan tentang Duit Sukarno 1964 sehingga menjadikannya sangat dicari penggemar. Keajaiban yang mampu bergulung tatkala diletak ditelapak tangan mengaitkan dengan banyak kisah mistik dan mengundang komentar dari penerbitan arus massa.

Duit Sukarna 1964 - 10,000 rupiah mempunyai banyak versi nya . 5 versi yang pernah dipaparkan atau mungkin pernah dilihat sesiapa termasuk 2 dalam koleksi penulis dipaparkan seperti di bawah

3 versi yang banyak diperlihatkan di internet.






2 versi dalam simpanan penulis (sedia diperdagangkan) kepada siapa yang berminat

1) Duit Sukarno 10 ribu rupiah tahun 1964 bertulis Bank Indonesia pada gambar hadapan berserta gambar belakang latar orang sedang menaiki pedati kuda, di keluarkan swasta swiss limited
2) Duit Sukarno 10 ribu rupiah bertulis Republik Indonesia pada muka hadapan dan gambar belakang latar perempuan sedang berdoa. Percetakan Kebayoran INP.
Sangat banyak perdebatan timbul memandangkan terdapat banyak versi dalam satu masa yang sama. Antara versi perdagangan keluaran Bank Indonesia dan versi "survinior" keluaran swasta turut menimbulkan kekalutan kepada masyarakat Indonesia itu sendiri.

Keinginan untuk memiliki atau menjadikan wang sukarno 1964 sebagai koleksi memerlukan banyak kajian dan penyelidikan agar benar - benar faham dengan sejarah pembuatannya.

Sesiapa yang benar - benar berminat boleh menghubungi saya untuk maklumat lanjut.

Sunday, June 3, 2012

Replika Kad Pengenalan Allahyarham Seniman Tan Sri P.Ramli yang asli.

Ini adalah replika asli Kad Pengenalan Allahyarham Tan Sri P. Ramli yang asli. Sangat sesuasi dijadikan bahan perhiasan dan "diframkan" di dinding bagi menimbulkan ketakjuban kepada setiap yang memandangnya.

Dicetak dalam salinan photo (13.5 x 8.0) cm. Kad pengenalan ini datang  dalam format kad pengenalan lama dengan warna biru berjalur menghiasi latar belakangnya. Bahagian depan terdapat gambar, cap jari dan no kad pengenalannya, serta tertera tulisan "Persekutuan Tanah Melayu". Bahagian belakang pula dimuatkan maklumat seperti alamat tempat tinggal, tarikh lahir, dan tempat lahir.

Amat menakjubkan bahawa nama P.Ramli itu juga bukan sekadar nama samaran, tetapi turut direkodkan dalam kad pengenalan Ramli bin Puteh @ P.Ramli. Bersama - sama kita sedekahkan Al-fatihah kepada Allahyarham sebagai mengenang segala jasa beliau.

Koleksi ini boleh dimiliki dengan harga RM30 bersama penghantaran. Sila hubungi kami sekiranyaberminat.



Friday, June 1, 2012

Matawang Tampang Pahang (kurun ke 15-19 masihi) 1281 Hijrah

Merupakan artifak yang dikenali kerana pernah dicatatkan oleh Munsyi Abdullah dalam bukunya "Pelayaran Abdullah Munsyi". Menurutnya, matawang tampang itu ada digunakan di negeri Pahang dalam tahun 1837.

Berukuran (7x7) cm dan tinggi 3 cm, Matawang Tampang Pahang mempunyai bentuk seakan topi sehingga turut dipanggil duit topi. Digunakan sebagai medium perdagangan bagi urusan urusniaga dengan meluasnya di Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Ciri penghasilannya dilihat agak kurang kemas memandangkan nilai setiap tampang hanya dinilai melalui beratnya dan bukan rupa bentuknya. Nilainya berdasarkan berapa banyak timah dapat ditukarkan dengan satu dolar perak Sepanyol (8 Reales).

Duit tampang ini dimansuhkan penggunaannya pada 1893 dan digantikan dengan duit - duit syiling Negeri - negeri Selat.

Anda berminat sila hubungi kami.

Wednesday, May 30, 2012

Preview - Koleksi Paling Bersejarah yang akan dijual

Di sini disisipkan sepintas lalu antara koleksi kami yang paling bersejarah untuk tatapan semua. Butiran lanjut berkenaan artifak yang ditojolkan akan di perjelaskan secara terperinci pada "Post" mendatang. Antaranya matawang buaya, matawang unikon, duit tampang Pahang, duit katun, duit Portugis keris bugis, keris jawa dan lain -lain.  Berusia lebih dari 300 tahun dari zaman pemerintahan kesultanan lalu dan mempunyai nilai sejarah yang sangat tinggi.

Kepada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut boleh terus menghubungi kami.

Tuesday, May 22, 2012

Matawang Timah Ayam Jantan - Sultan Muhammad Jiwa (1710-1733)

Matawang Timah Ayam Jantan merupakan antara artifak yang paling bersejarah pernah ditemui. Dimuatkan dalam buku teks sejarah sekolah menengah sebagai rujukan kepada Sejarah Kesultanan Raja terdahulu, menjadikannya antara koleksi sejarah yang sangat bernilai.

Matawang Timah Ayam Jantan atau Ayam Jantan Sabung dianggarkan berusia 302 tahun dan dibuat ketika pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa (1710-1733).

Melihat kepada pembuatannya, keseluruhan matawang ini dibuat daripada timah. Sentuhan pembuatannya yang kasar mungkin disebabkan oleh keterbatasan alatan pertukangan pada masa itu. Namun ketelitian dalam mencirikan bahagian-bahagian tertentu seperti ekor, mata, kepak dan balungnya menonjolkan seni pertukangan dan usaha yang jauh  melebihi tahap kemampuan pada masa itu.

Matawang Ayam Jantan ini dijumpai dalam 2 bentuk. Pertama, bentuk ayam Jantan dengan 2 cincin bulat di bawahnya dan bersaiz 6 cm. Kedua, bentuk Ayam Jantan dengan 6 cincin bulat di bawahnya bersaiz 10 cm. Diketahui bahawa nilai matawang ayam jantan semasa urusan perdagangan lalu ialah 5 sen dollar sepanyol dan setiap gelung dibawahnya menambahkan nilainya 1 sen setiap satu.

Sekali pandang, bentuk ayam jantan ini seolah-olah sedang bertenggek megah di atas tiang yang dibentuk dari lingkaran cincin bulat dan pasti menimbulkan ketakjuban bagi sesiapa yang memandangnya.

Kepada sesiapa yang berminat boleh menghubungi kami.


Monday, May 21, 2012

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Buat Teman Penggemar Antik !

Segelintir dari kita mula menggemari barang - barang antik secara tidak sengaja bermula dari barang peninggalan yang  diwarisi turun temurun dari nenek moyang. Walaupun usang, lusuh, karat dan berhabuk, barang antik ini menyerlahkan nilai estetika tersendiri yang mampu menambat hati penyimpannya. Elemen & nilai nostalgianya, dapat mengimbau segala kenangan pahit manis.  Dari sekadar menyimpan, timbul minat mendalam yang akhirnya menjadi hobi.

Ada juga yang menggemari barang antik ini kerana nilai keindahannya. Di atur dan disusun sebagai perhiasan, menyerlahkan ruang dan sudut rumah. Mententeramkan jiwa dan menyejukkan hati pemiliknya.

Sebilangan lagi yang menyimpan barang antik ini kerana faktor nilainya yang tinggi. Barang antik boleh menjangkau jutaan ringgit yang boleh menjadi sumber pendapatan kepada penyimpannya.

Walau apa pun tujuan dan matlamatnya, bagi saya barang antik mempunyai nilai yang teramat tinggi. Bukan sahaja kerana faktor harga dan nilai nostalgianya, barang antik juga mempunyai nilai sejarah & ketamadunan  bangsa. Barang antik dapat menggambarkan cara hidup, perbuatan dan teknologi tamadun terdahulu yang boleh jadi kajian dan pengajaran kepada kita hari ini